Thariq B. Syihab, daripada Salmaan radhiyallahu
‘anhuma, beliau berkata:
دَخَلَ رَجُلٌ الْجَنَّةَ فِي ذُبَابٍ
وَدَخَلَ رَجُلٌ النَّارَ، مَرَّ رَجُلَانِ عَلَى قَوْمٍ قَدْ عَكَفُوا عَلَى
صَنَمٍ لَهُمْ. وَقَالُوا: لَا يَمُرُّ عَلَيْنَا الْيَوْمَ أَحَدٌ إِلَّا قَدَّمَ
شَيْئًا، فَقَالُوا لِأَحَدِهِمَا: قَدِّمْ شَيْئًا، فَأَبَى فَقُتِلَ، وَقَالُوا
لِلْآخَرِ: قَدِّمْ شَيْئًا، فَقَالُوا: قَدِّمْ وَلَوْ ذُبَابًا، فَقَالَ:
وَأَيْشٍ ذُبَابٌ، فَقَدَّمَ ذُبَابًا فَدَخَلَ النَّارَ، فَقَالَ سَلْمَانُ:
فَهَذَا دَخَلَ الْجَنَّةَ فِي ذُبَابٍ، وَدَخَلَ هَذَا النَّارَ فِي ذُبَابٍ.
“Ada seseorang yang masuk Syurga kerana seekor lalat, dan ada seseorang yang
masuk Neraka kerana seekor lalat.”
[Orang-orang bertanya, “Kenapa
jadi demikian?”]
[Salmaan berkata:] “Ada dua orang (lelaki) yang berjalan melintasi suatu
kaum yang memiliki berhala, yang tidak seorang pun dibenarkan melintasinya
melainkan setelah mengorbankan (menyembelih) sesuatu untuk berhala mereka.
Mereka (kaum tersebut) berkata, “Tidak dibenarkan melintas atas kami hari ini
seorang pun melainkan setelah menyembelih (mengorbankan) sesuatu.” Berkata
mereka kepada salah seorang daripada keduanya, “Berqurban-lah (sembelih-lah)
sesuatu.” [Ia pun berkata, “Aku tidak akan mengorbankan (menyembelih) sesuatu
apa pun kepada selain Allah.”] Kerana lelaki itu enggan, maka dibunuhlah ia.
Lalu dikatakan kepada lelaki yang seorang lagi, “Berqurbanlah walau hanya
dengan seekor lalat.” Lelaki itu pun menyembelih seekor lalat. [Ia pun
dibenarkan melintas pergi]. Lalu dengan sebab perbuatan sembelihannya tersebut,
masuklah ia ke Neraka.
Maka kata Salmaan, “Maka inilah punca seorang lelaki masuk Syurga disebabkan
seekor lalat, manakala seorang lelaki lagi masuk Neraka kerana seekor lalat.”
(Atsar Riwayat Ahmad dalam az-Zuhd, m/s. 15. Hilyah al-Awliya’, 1/203.
Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 33038. Secara mauquf kepada Salman al-Faarisy.
Kata Syaikh al-Albani, “Sahih secara mauquf daripada Salmaan radhiyallahu ‘anhu.”)
Hadis ini mauquf kepada Salmaan al-Faarisy atau Thariq B. Syihab
radhiyallahu ‘anhuma. Hadis mauquf (atau mursal) yang diriwayatkan oleh sahabat
adalah maqbul (diterima sebagai hujah) tanpa syak kerana para sahabat tidaklah
meriwayatkan kecuali daripada para sahabat yang lain juga. Dan tidaklah beliau
mendengar, melainkan daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Kefahaman hadis secara umum
Hadis atau atsar ini mengkhabarkan tentang bahaya dan keburukan syirik. Ia
menceritakan bahawa ada seseorang yang masuk Neraka disebabkan seekor lalat,
dan ada pula yang dimasukkan ke dalam Syurga kerana seekor lalat. Kisah ini
nampak aneh dan pelik, mengapa agaknya hanya kerana dengan seekor lalat boleh
menjadi sebab seseorang masuk Syurga atau dihumban ke Neraka?
Kisah ini menjelaskan di mana ada dua orang yang ingin melintasi suatu
tempat dengan tujuan ke destinasi tertentu. Sesiapa pun yang mahu melintasi
kawasan tersebut diwajibkan oleh para penduduk atau kaum di situ agar melakukan
qorban atau menyembelih haiwan sebagai satu bentuk taqarrub atau
pengagungan terhadap berhala milik kaum tersebut.
Para penyembah berhala tadi meminta kepada kedua orang yang hendak melintas
tersebut agar melaksanakan amal-amal kesyirikan. Salah seorang dari keduanya
beralasan tidak memiliki sesuatu untuk diqurbankan. Maka kaum penyembah berhala
tersebut pun mengatakan tidak mengapa walaupun dengan qurban yang termudah,
iaitu walaupun dengan hanya seekor lalat. Kerana tujuan pokok mereka adalah
tercapainyanya kesepakatan atas kesyirikan tersebut. Akhirnya salah seorang
lelaki itu pun menurutinya, iaitu berqorban dengan seekor lalat. Maka kaum
penyembah berhala tersebut pun membiarkannya melintas.
Maka lelaki tersebut pun dimasukkan Neraka kerana perbuatannya yang syirik
serta persetujuannya atas kesyirikan.
Kemudian kaum penyembah berhala tersebut meminta kepada lelaki yang lagi
satu agar melakukan qorban juga. Namun lelaki ini enggan dengan alasan bahawa
perbuatan tersebut termasuk kesyirikan dan tidak boleh dilakukan. Atas sebab
itu, dia pun dibunuh oleh kaum penyembah berhala tersebut. Dan dengan sebab
keteguhannya dalam meninggalkan kesyirikan, ia pun dimasukkan ke Syurga.
Faedah hadis:
1, Tidak boleh bermain-main dengan kesyirikan walaupun pada hal yang
dianggap ringan atau remeh.
2, Kesyirikan menjadi sebab kepada pelakunya untuk dihumban ke Neraka.
Manakala tauhid dan meninggalkan segala bentuk kesyirikan adalah hal yang
memasukkan pengamalnya ke Syurga.
3, Manusia adakalanya terjatuh ke dalam kesyirikan sementara dia tidak
mengetahuinya bahawa hal tersebut termasuk kesyirikan yang menjadi sebab untuk
ia dimasukkan ke Neraka.
4, Peringatan terhadap bahaya syirik walaupun dilihat seakan-akan remeh.
5, Si pelaku syirik di dalam hadis ini tidaklah dia niatkan untuk berbuat syirik
dari awal, tetapi dia lakukan dengan rela hati hanyalah semata-mata kerana
ingin melepasi kaum penyembah berhala itu sahaja. Maka, dengan sebab kerelaan
hatinya terhadap amal-amal kesyirikan tersebut telah menjadi sebab dia
terhumban ke Neraka.
6, Manakala yang seorang lagi yang terbunuh, maka dia termasuk orang yang
memahami hakikat bahaya syirik sehingga dia tidak sanggup melakukannya dan
tidak redha pula terhadap kesyirikan walau dalam keadaan terancam nyawanya.
7, Dari hadis ini menunjukkan bahawa menyembelih haiwan adalah termasuk
ibadah yang hanya boleh dilakukan kerana Allah. Memalingkan tujuan sembelihan
kepada selain Allah, maka ia adalah syirik akbar (syirik yang besar).
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ
وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (162) لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ
أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ
“Katakanlah: Sesungguhnya solat-ku, sembelihan-ku, hidup-ku dan mati-ku
hanyalah untuk Allah, Rabb semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan itulah yang
diperintahkan kepada-ku, dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan
diri (kepada Allah).” (Surah al-An’aam, 6: 162-163)
8, Dari hadis ini menunjukkan
bahawa syirik itu membatalkan amal sehingga menjadikan si pelakunya terhumban
ke Neraka walaupun dia sebelumnya adalah seorang Muslim. Dan ini banyak
dijelaskan dalam ayat-ayat al-Qur’an.
9, Hadis ini menunjukkan keutamaan manusia yang bertauhid dan yang bersabar
di atas kebenaran.
Wallahu a’lam.